
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memantau keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri itu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan lokasi, terutama bahagian selatan, melebihi paras 100.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, keadaan jerebu ketika ini dipercayai berpunca daripada sumber di Kalimantan Barat, Indonesia yang dibawa angin dari arah timur dan tenggara.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, termasuk Kuching yang mencatat bacaan antara 150 hingga 175.
“Kalau kita lihat bacaan IPU setakat ini, Kuching mencatat sekitar 150 hingga 175 dan berada dalam keadaan tidak sihat.
“Samarahan pula mencatat sekitar 174, manakala Tebedu di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia sudah melepasi angka 200,” katanya ketika ditemui pada Hari Integriti Sarawak 2026, di sini hari ini.
Len Talif berkata, beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan IPU melebihi 100, antaranya Sibu dengan bacaan 151 dan Sri Aman (161).
Katanya, keadaan di bahagian utara Sarawak masih dilaporkan lebih baik berbanding kawasan selatan negeri itu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengurangkan risiko terdedah kepada udara tercemar.
Beliau turut menggesa pihak sekolah supaya mengelakkan aktiviti luar, terutama yang membabitkan murid dan pelajar, susulan keadaan jerebu ketika ini.
Len Talif berkata, kerajaan negeri setakat ini belum merancang untuk melaksanakan operasi pembenihan awan berikutan keadaan masih dipantau.
Katanya, terdapat kemungkinan hujan turun dalam tempoh beberapa hari akan datang yang diharap dapat membantu mengurangkan keadaan jerebu.
“Setakat ini belum ada perancangan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan kerana keadaan masih dipantau dan terdapat kemungkinan hujan turun dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Kita melihat ramalan cuaca, ada kemungkinan sekitar 30 peratus hujan menjelang Jumaat atau Sabtu. Kita berharap ada sedikit hujan supaya keadaan jerebu dapat diredakan,” katanya.







