
PUCHONG: Parti Bersama Malaysia (Bersama) didakwa menerima kemasukan 29,200 ahli sejak dilancarkan hampir tiga bulan lalu, dengan 25 peratus daripadanya merupakan bekas anggota PKR.
Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sebanyak 15 peratus lagi terdiri daripada bekas anggota parti politik lain termasuk UMNO, Pas dan Bersatu, manakala 60 peratus adalah individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.
Menurutnya, jumlah bekas ahli DAP yang menyertai Bersama pula tidak sampai satu peratus.
“Sebanyak 25 peratus daripada mereka bekas anggota PKR, kira-kira 15 peratus lagi bekas anggota parti politik lain, termasuk UMNO, Pas dan Bersatu.
“Selebihnya, kira-kira 60 peratus individu tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersama, di sini hari ini.
Rafizi berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan sokongan terhadap Bersama bukan hanya datang daripada bekas anggota PKR, malah turut melibatkan individu yang sebelum ini tidak mempunyai latar belakang politik.
Beliau berkata, Bersama menjangkakan jumlah keahlian parti itu melepasi 30,000 orang menjelang hujung minggu ini.
Katanya, ketika ini pertambahan keahlian Bersama adalah sekitar 500 orang sehari dan momentum berkenaan perlu dikekalkan menerusi kempen keahlian secara berterusan.
“Pada masa ini, pertambahan keahlian sekitar 500 orang sehari dan momentum ini perlu dikekalkan menerusi kempen keahlian yang berterusan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi berkata Bersama memerlukan masa untuk meminda perlembagaan parti sebelum proses pemilihan kepimpinan dapat dilaksanakan.
Katanya, parti itu juga memperluaskan struktur dan operasi bagi memastikan urusan pentadbiran serta perjalanan parti dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada Nik Nazmi dan saya. Sebab itu kita sudah mempunyai tujuh jurucakap bagi memperkukuhkan perjalanan dan urusan parti.
“Mereka bukan hanya bercakap kepada media atau orang ramai, tetapi yang paling penting ialah menyampaikan maklumat dan pendirian kepada ahli Bersama bagi pihak pengurusan dan parti,” katanya.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan tujuh individu yang dilantik sebagai jurucakap Bersama, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani.







