
PUTRAJAYA: Pelaksanaan B15 merupakan langkah strategik kerajaan memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap diesel fosil import.
Ia sekali gus menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif yang lebih mampan dan mesra alam.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, inisiatif itu dilaksanakan ketika pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik dan gangguan bekalan.

“B15 adalah antara langkah penting yang dibincangkan kerajaan untuk memastikan keselamatan bekalan tenaga ketika berdepan krisis, selain menyediakan sumber alternatif kepada diesel konvensional.
“Pelaksanaan B15 turut menyokong agenda kelestarian negara menerusi penggunaan tenaga yang lebih mampan di samping mengukuhkan pembangunan sektor biobahan api tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Lawatan Media ke Klang Valley Distribution Terminal (KVDT) di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 30 pengamal media dibawa ke KVDT bagi melihat proses pengumpulan, pengadunan dan pengagihan biodiesel di terminal simpanan sebelum bahan api berkenaan diedarkan ke stesen minyak untuk kegunaan pengguna.
Noraini memberitahu, Program Biodiesel Negara disokong oleh ekosistem yang komprehensif merangkumi 452 kilang minyak sawit, 54 kilang penapisan minyak sawit, 19 loji biodiesel dan 34 depoh pengadunan biodiesel di seluruh negara sebelum bahan api tersebut diedarkan ke lebih 4,400 stesen minyak untuk kegunaan pengguna.
Beliau menjelaskan, infrastruktur yang lengkap tersebut membuktikan negara mempunyai kapasiti, kepakaran serta keupayaan logistik untuk melaksanakan peningkatan adunan biodiesel secara berperingkat dan terancang.

“Pengguna tidak perlu bimbang kerana penggunaan biodiesel bukan perkara baharu. Sebelum ini kita telah melaksanakan B5, B7 dan B10, manakala kini ia dipertingkatkan kepada B15 secara berperingkat.
“Dari segi prestasi enjin, tiada masalah dan pengguna boleh terus menggunakan bahan api ini seperti biasa,”ujarnya.
Beliau berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus komited memastikan sektor agrikomoditi negara kekal mampan, berdaya tahan dan kompetitif di peringkat global selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.





