
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk mengekalkan atau meningkatkan jumlah calon wanita yang akan ditampilkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan rekod Johor yang mempunyai peratusan wakil rakyat wanita tertinggi dalam kalangan negeri yang dimenangi BN.
Noraini yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Johor kini mencatatkan sekitar 26 peratus wakil rakyat wanita daripada BN yang memenangi kerusi pada pilihan raya lalu, sekali gus membuktikan keupayaan dan penerimaan masyarakat terhadap kepimpinan wanita.
“Kami wanita BN memang mahukan supaya calon-calon wanita dapat diketengahkan. Sebab sekarang ini Johor adalah antara negeri yang mempunyai calon wanita BN paling tinggi,” katanya selepas meninjau Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) untuk pelaksanaan biodiesel B15 di sini hari ini.
Noraini ketika mengulas sama ada peratusan itu akan ditingkatkan berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kami akan berbincang dengan Menteri Besar dan juga Presiden parti saya. Kami cuba capai sasaran itu. Sebab sekarang ini paling tidak, itu yang paling tinggi sekali yang kami dapat, sekitar 26 peratus ataupun lebih,” katanya.
DUN Johor dibubarkan semalam bagi memberi laluan kepada PRN ke-16, menyaksikan BN bakal bertanding di kesemua 56 kerusi.







