
BENGALURU: Pentadbiran Presiden Donald Trump bercadang mengenakan duti import tambahan antara 10 hingga 12.5 peratus ke atas 60 ekonomi yang didakwa gagal mengambil langkah mencukupi bagi membendung perdagangan produk yang dihasilkan menerusi buruh paksa.
Langkah itu dicadangkan oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) susulan penemuan terbaharu dalam siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan amalan perdagangan tidak adil yang dilihat sebagai sebahagian usaha Washington untuk memperkukuhkan semula dasar tarif selepas tarif kecemasan yang diperkenalkan sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Agung AS pada Februari lalu.
Menurut USTR, duti tambahan 10 peratus dicadangkan ke atas import dari beberapa rakan dagang utama termasuk Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Mexico, Indonesia, Malaysia, Taiwan, Pakistan, Bangladesh, Kemboja, Ecuador, Argentina, El Salvador, Guatemala dan United Kingdom.
Bagi 45 negara lain yang turut menjadi subjek siasatan sama, USTR mencadangkan kadar duti lebih tinggi iaitu 12.5 peratus sebagai langkah mengekang amalan perdagangan yang dianggap menjejaskan kepentingan ekonomi dan industri domestik AS.
“Kegagalan rakan dagang utama kami menangani import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Keadaan ini mewujudkan persaingan global yang tidak seimbang dan memaksa pekerja Amerika bersaing dalam medan yang tidak adil, kata Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer dalam satu kenyataan.
Dalam usaha mengimbangi langkah pengenaan duti baharu, USTR mencadangkan skim khas bagi sektor tekstil yang membolehkan sejumlah import pakaian dan tekstil memasuki AS pada kadar tarif lebih rendah.
Namun, katanya butiran mengenai kuota serta kadar duti yang terlibat masih belum diumumkan.
Pengumuman itu dibuat menjelang tamatnya tarif sementara 10 peratus yang dikuatkuasakan sejak 20 Februari lalu, susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan tarif era Trump di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).







