
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan hampir 2.2 juta kenderaan sehari akan menggunakan rangkaian lebuh rayanya bermula esok hingga Ahad ini susulan pergerakan pulang orang ramai ke ibu kota selepas cuti Aidiladha, cuti persekolahan dan perayaan berganda.
Menurut PLUS, peningkatan jumlah trafik itu melibatkan gabungan perjalanan jarak jauh serta pergerakan antara bandar utama menuju ke Lembah Klang selepas berakhirnya tempoh cuti berkenaan.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) MyPLUS bagi membantu melancarkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan di lokasi-lokasi kritikal.
“Pengguna disaran mengikuti jadual MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi aplikasi PLUS dan merancang perjalanan pulang mengikut waktu yang dicadangkan.
“Langkah ini penting bagi membantu mengimbangi aliran trafik selain mengurangkan kesesakan di kawasan tumpuan sepanjang lebuh raya,” menurut kenyataan PLUS hari ini.
Bagi menghadapi lonjakan jumlah kenderaan sepanjang tempoh tersebut, PLUS turut mengaktifkan laluan Smart Lane di 33 lokasi strategik yang dikenal pasti sering mengalami kesesakan.
Kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah turut dipertingkatkan dengan memastikan gerai makanan dan minuman beroperasi sepanjang masa bagi memenuhi keperluan pengguna.
Dalam pada itu, orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan ketika menggunakan lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000 atau LPT2Line di talian 1800-88-0220.
PLUS turut mengingatkan pengguna supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua pengguna lebuh raya.





