
KUCHING: Lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan di Jalan Baki Lama-Ensengei, Serian dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 8.41 pagi itu, mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang lelaki dewasa, tiga wanita dan seorang bayi perempuan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.41 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang paip air di tepi jalan.
“Pasukan bomba mengeluarkan empat mangsa dewasa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Seorang bayi perempuan pula ditemukan oleh orang awam berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai tercampak keluar dari kenderaan akibat impak kemalangan,” katanya.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk proses pengecaman dan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sementara itu, pihak berkuasa mengingatkan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi had laju dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.






