
KUALA LUMPUR : Satu memorandum akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menggesa kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Khas Nasional sebagai langkah menyeluruh menangani pelbagai isu sosial yang semakin meruncing.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, memorandum tersebut yang mendapat sokongan hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut akan diserahkan kepada kementerian-kementerian berkaitan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, negara kini berdepan cabaran sosial yang semakin serius dan kompleks selain masalah lama seperti penyalahgunaan dadah, gejala juvana serta ponteng sekolah.
“Selain itu, terdapat pelbagai ancaman baharu muncul termasuk penggunaan vape yang dicampur bahan terlarang, pil khayal sintetik, aktiviti lumba haram, perjudian dalam talian, ketagihan media sosial, pornografi digital dan kecenderungan kepada budaya keganasan dalam kalangan remaja.
“Penggunaan vape jenis ‘magic mushroom’ dikatakan boleh menimbulkan kecelaruan, halusinasi bahkan kematian di mana cecair dicampur dadah sintetik berisiko menjejaskan fungsi otak serta kesihatan tubuh badan,” katanya ketika sidang media di Pejabat Mapim, hari ini.
Mohd Azmi berkata, pihaknya turut menggesa agar penguatkuasaan undang-undang diperkasakan kerana langkah yang dilaksanakan ketika ini dilihat masih belum memadai untuk membendung gejala yang semakin membarah sehingga menyumbang kepada keruntuhan sosial.
Beliau menambah, Mapim turut menggesa kerajaan melaksanakan audit nasional terhadap program belia bagi menilai semula keberkesanan perbelanjaan dan program dilaksanakan kementerian serta agensi berkaitan.
“Kami juga meminta kerajaan mengekalkan peruntukan bagi pembangunan belia dan remaja serta menyediakan dana kepada NGO yang sentiasa melaksanakan program menangani gejala sosial,” katanya.





