
KUALA LUMPUR: Seramai 23 aktivis Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dijadualkan dibawa keluar dari Israel petang ini melalui Lapangan Terbang Ramon.
Kemudian, mereka akan berlepas ke Istanbul, Turkiye.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kesemua aktivis terbabit dijangka pulang ke tanah air seawal malam esok atau selewat-lewatnya lusa.
“Alhamdulillah, kesemua 23 rakyat Malaysia dalam misi GSF akan diterbangkan dari Israel ke Istanbul dan insya Allah akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat,” kata beliau menerusi siaran langsung di Facebook rasmi hari ini.
Misi GSF disertai oleh aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, dan ditahan tentera Israel ketika cuba menghantar bantuan ke Gaza melalui laut.
Kejadian itu mencetuskan kecaman antarabangsa dan desakan pembebasan segera terhadap semua aktivis terlibat.