
KUALA LUMPUR: Arab Saudi kini memperluaskan akses kepada ibadah umrah dengan membenarkan pemegang pelbagai jenis visa menunaikan ibadah tersebut sepanjang berada di negara itu, menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA).
Kementerian Haji dan Umrah dalam kenyataannya menjelaskan, inisiatif itu adalah sebahagian daripada langkah reformasi berterusan bagi mempermudah prosedur umrah serta menyokong matlamat Wawasan Saudi 2030.
Antara visa yang diterima termasuk visa pelancong elektronik, visa lawatan keluarga dan peribadi, visa kerja, visa transit serta lain-lain kategori.
Menurut kementerian itu, keputusan berkenaan menzahirkan komitmen kerajaan Arab Saudi untuk memastikan umat Islam dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadah dengan lebih mudah, selesa dan aman.
Dalam masa sama, kementerian itu turut memperkenalkan platform digital serba baharu, Nusuk Umrah. Melalui sistem ini, bakal jemaah boleh memilih pakej yang bersesuaian, menempah perkhidmatan sokongan serta memperoleh permit umrah secara elektronik. Ia juga menawarkan kemudahan menetapkan waktu ibadah dengan lebih fleksibel dan teratur.
Langkah ini dijangka menjadi pemangkin kepada pengalaman umrah yang lebih moden, cekap dan inklusif seiring aspirasi Arab Saudi untuk mempertingkatkan perkhidmatan haji dan umrah di peringkat global.







