
KUALA LUMPUR : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah diperkenan maklum mengenai kenyataan yang dikeluarkan bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang, berhubung isu pembangunan di Kampung Sungai Baru.
Perkara tersebut dikongsi melalui hantaran di laman rasmi Facebook Selangor Royal Office pada hari ini.
“DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sudah disembah maklum dan membaca kenyataan Media bertarikh 1 Oktober 2025 yang dikeluarkan Ambrin berhubung kait dengan Kampong Bharu dan isu pembangunan di Kampung Sungai Baru.
“Ambrin yang juga Ahli Dewan di-Raja Selangor adalah seorang anak jati Kampong Bharu dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara,” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam hantaran berkenaan turut dikepilkan kenyataan rasmi daripada Ambrin berkaitan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Ambrin memaklumkan kini adalah masa sesuai Kerajaan Persekutuan memperbetulkan semula keadaan dengan memastikan tanah berkenaan diwartakan sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS) untuk tujuan penempatan orang Melayu bersesuaian dengan situasi semasa.
Katanya, tindakan itu juga dapat memberi jaminan kepada hak kepentingan orang Melayu.
“Kedudukan tanah ini adalah sangat strategik dan bernilai tinggi dan jika pembangunan dilakukan dan penjualan terbuka kepada orang bukan Melayu, maka orang Melayu tidak akan mampu untuk membeli dan memilikinya.
“Oleh itu pada pendapat saya hasrat asal Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa untuk penempatan orang Melayu perlu dikekalkan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menitahkan pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan memberikan keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.
Baginda tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.




