
KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) membantu penyedia latihan menyediakan kursus kemahiran berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) selari hala tuju kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ketua Eksekutif (CEO) HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, sektor industri memerlukan unjuran dan percambahan ekonomi selari dengan pergerakan teknologi hari ini.
Beliau memberitahu, AI kini sedang dalam fasa evolusi dan tidak dapat dipastikan sejauh mana ia akan terus berkembang.
Katanya, HRD Corp memainkan peranan tersebut melibatkan tiga pihak iaitu penyedia-penyedia latihan, majikan-majikan dan para pekerja.
“Kita membantu penyedia latihan untuk menyediakan latihan-latihan kemahiran yang bersesuaian dengan pihak majikan dan industri agar dapat memenuhi keperluan hari ini.
“HRD Corp tidak mahu terdapat penyedia latihan menjalankan latihan-latihan yang tidak selari dengan pertumbuhan ekonomi.
“Justeru, kita (HRD Corp) perlu memaklumkan kepada penyedia latihan ini berhubung hala tuju kerajaan dan ekonomi untuk melahirkan modal insan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Majlis perasmian berkenaan telah disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim. Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp. Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Selain itu, Dr. Syed Alwi menambah, majikan-majikan yang menyumbang kepada caruman levi akan dibantu untuk menghantar pekerja-pekerja untuk dilatih supaya mereka membantu mencapai objektif-objektif kerajaan.
Katanya lagi, pekerja juga tidak boleh hanya mengharapkan majikan tetapi perlu bertindak lebih proaktif dalam menentukan jenis latihan yang diperlukan mereka.
“Sebagai contoh, terdapat program-program latihan yang percuma dan berbayar disediakan untuk individu atau pekerja memilih sendiri latihan yang dingini mereka.
“Inilah cara kita membantu menaiktaraf mutu latihan di negara dengan melibatkan ketiga-tiga pihak bersama dengan polisi-polisi sektor industri berkenaan dalam membantu kerajaan.
“HRD Corp memainkan peranan lebih meluas daripada hanya menjadi pengurusan dana levi,” katanya.
NHCCE 2025 merupakan acara tahunan utama HRD Corp yang menarik penyertaan kira-kira 3,000 delegasi dari dalam dan luar negara.
Persidangan tersebut menampilkan lebih 30 penceramah ternama, antarabangsa dan tempatan, di samping pameran yang mengetengahkan inovasi terkini dalam pembangunan modal insan.
Berteraskan tema ‘Menerajui Revolusi Modal Insan’, persidangan itu membincangkan bagaimana AI dan teknologi disruptif dapat mentransformasikan tempat kerja sambil memupuk keterangkuman, daya tahan serta hubungan kemanusiaan.





