
KUALA LUMPUR: Inisiatif pemberian baucar buku RM100 bagi pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan penuntut Insitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diteruskan tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, baucar itu boleh digunakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Bantuan RM100 yang diberikan sejak beberapa tahun lepas, kini disalurkan secara terus. Jadi, apabila anda membeli buku, anda akan menikmati diskaun tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan PBAKL 2026 hari ini.
Perdana Menteri turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak menggunakan baucar berkenaan sepenuhnya bagi mendapatkan bahan bacaan yang bermanfaat dan tidak sekadar menyimpannya.
Selain itu, beliau berkata PBAKL wajar diadakan untuk mendedahkan serta memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda terutama dalam dunia moden.
Katanya, trend masyarakat masa kini yang hanya bergantung kepada media sosial untuk mencari jawapan bagi permasalahan kompleks menyebabkan minat membaca semakin terhakis.
Perdana Menteri turut menggesa warga pendidik supaya memberi penekanan terhadap amalan mendalami ilmu dalam pelbagai bidang termasuk agama, sains dan kecerdasan buatan (AI) selain meningkatkan penguasaan literasi digital.







