
KULAI: Saman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC berhubung dakwaan kegagalan menangani kandungan memudaratkan di platform YouTube sudah diserahkan kepada peguam syarikat itu di Malaysia.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, saman berkenaan sudah diserahkan kepada wakil perundangan Google.
Beliau berkata, tindakan itu merupakan kali pertama MCMC mengambil tindakan saman terhadap Google, selepas sebelum ini suruhanjaya berkenaan pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap platform Telegram.
“Setakat pengetahuan saya, saman ini telah diserahkan kepada Google, kepada peguam mereka di Malaysia,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Aspirasi MADANI dan Apresiasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Murni Jaya di sini, hari ini.
Menurut Nie Ching, kelemahan sistem saringan kandungan YouTube menyebabkan MCMC terpaksa menggunakan tenaga kerja sendiri untuk memantau serta melaporkan kandungan perjudian dalam talian di platform berkenaan.
Katanya, Google sepatutnya mempunyai pasukan sendiri bagi memastikan kandungan yang disiarkan di platform itu ditapis dan tidak melanggar peraturan.
Menurut MCMC, sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober tahun ini, dengan 74,569 daripadanya atau 99.8 peratus membabitkan kandungan perjudian dalam talian.
Pada 25 November lalu, MCMC mengumumkan dua tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM600 juta.
Saman pertama membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya bagi menangani kandungan memudaratkan, termasuk berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan.
Saman kedua pula berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang.
Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi sebanyak RM300 juta merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.






