
KULIM: Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai hab pemasangan kenderaan elektrik (EV) serantau apabila BYD memulakan projek pemasangan kenderaan secara tempatan (CKD) di fasiliti Inokom Corporation (Inokom),Kulim,Kedah.
Projek berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang kepada industri automotif tempatan, khususnya dalam pembangunan komponen, teknologi bateri dan elektronik kuasa, selain meningkatkan penyertaan vendor serta jurutera tempatan dalam rantaian bekalan automotif global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemasangan tempatan membolehkan lebih banyak nilai ekonomi daripada setiap kenderaan dikekalkan dalam negara.
Selain itu, beliau berkata, ia memberi ruang kepada syarikat tempatan untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pembuatan dan pembangunan teknologi automotif.
“Pasaran EV negara terus menunjukkan pertumbuhan ketara apabila pendaftaran kenderaan elektrik dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 meningkat hampir dua kali ganda kepada lebih 53,500 unit berbanding kira-kira 27,000 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
“Sehubungan itu, pertumbuhan pasaran berkenaan perlu dimanfaatkan untuk memperluas keupayaan industri tempatan, bukan sekadar meningkatkan jumlah jualan kenderaan elektrik,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Beliau telah merasmikan majlis permulaan operasi CKD BYD di Malaysia, di sini, semalam sekali gus menandakan kerjasama strategik antara BYD, Sime Motors dan Inokom dalam memperluas ekosistem EV di Malaysia.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma dan Pengarah Urusan Sime Motors Southeast Asia, Jeffrey Gan.
Dalam pada itu, Johari menambah, menerusi Mekanisme Insentif Baharu (NIM) bagi sektor automotif, Kerajaan akan memberi penekanan lebih besar terhadap proses pembuatan yang dilaksanakan di Malaysia serta nilai ekonomi yang dijana pembekal pada setiap peringkat pengeluaran.
Katanya, pendekatan itu bertujuan menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan membangunkan keupayaan mereka bentuk dan menghasilkan komponen sendiri sebelum menjadi pembekal kepada pengeluar automotif global.
“Kerjasama BYD, Sime Motors dan Inokom itu sekali gus membuka ruang kepada pemindahan kepakaran, pembangunan teknologi serta peningkatan keupayaan vendor tempatan dalam menghadapi perubahan landskap industri automotif yang semakin beralih kepada elektrifikasi,” katanya.
Sementara itu, Jacob berkata, keputusan melaksanakan pemasangan tempatan mencerminkan perancangan jangka panjang syarikat itu untuk mengembangkan operasinya di Malaysia.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar melibatkan aktiviti pemasangan kenderaan, sebaliknya turut membuka ruang kepada kerjasama lebih erat dengan pemain industri tempatan, perkongsian teknologi serta pemindahan pengetahuan dan kemahiran.
“Malaysia mempunyai potensi besar untuk BYD, bukan sahaja sebagai pasaran NEV yang semakin berkembang, tetapi juga sebuah negara yang mempunyai keupayaan automotif kukuh, tenaga kerja berkemahiran dan peluang untuk terus berkembang.
“Pemasangan tempatan sentiasa menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang kami di Malaysia dan amat bermakna apabila visi ini kini mula menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, BYD amat menghargai sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Sime Motors yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan pencapaian berkenaan.
Menurutnya, kerjasama itu dijangka membantu BYD memperkukuh hubungan dengan industri automotif tempatan, selain menyumbang kepada pembangunan keupayaan dan kepakaran dalam sektor EV.
Pemilihan BYD SHARK 6 sebagai model pertama pemasangan tempatan turut memperluas penyertaan syarikat itu dalam segmen kenderaan pikap pacuan empat roda (4×4), sekali gus membawa teknologi elektriknya ke kategori kenderaan berbeza.
Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2025, model berkenaan menerima maklum balas menggalakkan dan sambutan positif daripada pelanggan tempatan, sekali gus membuka peluang kepada BYD untuk menjangkau kumpulan pelanggan baharu.







