
Saringan kesihatan mental dua kali setahun bukan sekadar untuk mengenal pasti pelajar yang berdepan masalah emosi, sebaliknya menjadi peluang untuk mengesan perubahan tingkah laku anak lebih awal sebelum keadaan menjadi semakin serius.
Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan saringan kesihatan mental dua kali setahun mulai 2026 dilihat sebagai usaha positif dalam memperkukuh kesejahteraan emosi murid, khususnya apabila golongan itu turut berdepan pelbagai tekanan dalam kehidupan seharian.
Malah, keperluan terhadap langkah berkenaan semakin jelas apabila Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 mendapati 26.9 peratus remaja Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun melaporkan mengalami gejala kemurungan.
Psikologi Klinikal Berdaftar dan Pensyarah Kanan di School of Liberal Arts and Sciences, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi, Taylor’s University, Dr. Sam Jeng Mun berkata, masalah emosi dalam kalangan pelajar tidak semestinya ditunjukkan melalui tangisan atau luahan perasaan, sebaliknya boleh dikesan menerusi perubahan tingkah laku harian.
Menurutnya, ada pelajar yang mula mudah berasa cemas, cepat marah, menjauhkan diri daripada orang sekeliling atau menunjukkan perubahan corak tidur, selera makan dan tahap tumpuan.

Bagi kanak-kanak lebih muda pula, tekanan emosi kadangkala muncul dalam bentuk aduan fizikal seperti kerap sakit kepala, sakit perut, enggan ke sekolah atau perubahan tingkah laku.
“Perubahan ini mungkin tidak mudah dikenal pasti, terutama apabila kanak-kanak sendiri sukar untuk meluahkan atau menjelaskan apa yang sedang mereka rasakan,” katanya kepada Ceritera.
Justeru, saringan kesihatan mental boleh membantu mengenal pasti murid yang berkemungkinan memerlukan perhatian dan sokongan lanjut.
Dr. Jeng Mun menjelaskan keputusan saringan bukanlah diagnosis klinikal kerana ada pelajar mungkin hanya mengalami tekanan emosi sementara, manakala sebahagian lagi keberatan berkongsi masalah disebabkan stigma, takut dilabel atau bimbang soal kerahsiaan.
Katanya, maklumat daripada saringan perlu dilihat bersama pemerhatian ibu bapa, guru dan kaunselor bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan emosi seseorang murid.
BUKAN SEMUA MURID PERLUKAN BANTUAN SAMA
Menurut Dr. jeng Mun, pendekatan sokongan secara berperingkat penting supaya bantuan yang diberikan bersesuaian dengan tahap keperluan setiap pelajar.
“Bagi murid yang tidak menunjukkan masalah serius, aktiviti kesejahteraan umum boleh membantu mereka memahami emosi sendiri dan membina kemahiran mengurus tekanan.
“Pelajar yang mengalami masalah emosi pada tahap ringan hingga sederhana boleh dibantu menerusi sesi kaunseling atau program sokongan yang lebih tersusun.

“Bagi kes lebih kompleks atau berpanjangan, penilaian khusus oleh profesional kesihatan mental bertauliah seperti ahli psikologi klinikal atau pakar psikiatri mungkin diperlukan,” katanya.
Pendekatan itu selari dengan penekanan KPM terhadap kaunseling, perbincangan bersama ibu bapa, rujukan kepada pihak berkaitan serta pemantauan berterusan.
Namun, saringan sahaja tidak mencukupi sekiranya tiada tindakan susulan yang jelas.
Setiap murid yang dikenal pasti memerlukan bantuan perlu mempunyai laluan sokongan yang teratur, termasuk siapa yang akan menghubungi mereka, bagaimana rujukan dibuat dan bentuk bantuan yang boleh diteruskan.
Dalam hal ini, penambahan kaunselor terlatih, penyeliaan klinikal secara berkala serta kerjasama lebih erat dengan ahli psikologi melalui Kementerian Kesihatan, universiti dan perkhidmatan komuniti juga penting bagi memastikan murid mendapat bantuan pada masa yang sesuai.
IBU BAPA, GURU JANGAN CEPAT MENGHUKUM
Di sebalik pelaksanaan saringan, peranan ibu bapa dan guru juga tidak boleh dipandang ringan dalam membentuk persekitaran yang membuatkan anak berasa selamat untuk berkongsi masalah.
Kadangkala, perbualan ringkas tentang keadaan mereka di sekolah, kesediaan mendengar tanpa menghakimi dan kepekaan terhadap perubahan tingkah laku sudah cukup untuk membuka ruang kepada anak meluahkan perasaan.
Ibu bapa dan guru tidak perlu menjadi pakar kesihatan mental, tetapi pengetahuan asas mengenai isu berkenaan dapat membantu mereka mengenal pasti tanda-tanda awal seseorang murid memerlukan perhatian tambahan.

Dr. Jeng Mun turut menekankan kepentingan menjaga privasi murid, terutama berkaitan maklumat dan keputusan saringan.
“Penjelasan mengenai tujuan saringan, pihak yang boleh mengakses keputusan serta cara maklumat itu dikendalikan perlu diberikan dengan jelas supaya murid dan ibu bapa berasa yakin untuk memberikan kerjasama.
“Ini kerana kebimbangan terhadap stigma atau kerahsiaan boleh menyebabkan sesetengah pelajar memilih untuk menyembunyikan masalah yang dihadapi,” ujarnya.
Dengan kerjasama sekolah, keluarga dan profesional kesihatan mental, usaha ini diharap dapat mewujudkan persekitaran lebih prihatin, sekali gus membantu anak-anak membesar dengan emosi lebih sihat dan berupaya menghadapi cabaran kehidupan.







