
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa suruhanjaya itu mengamalkan siasatan secara dua darjat atau double standard dalam mengendalikan kes, termasuk siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang membabitkan sebuah kementerian.
SPRM dalam kenyataan berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan suruhanjaya itu dalam melaksanakan setiap siasatan.
Menurutnya, siasatan berhubung isu perbelanjaan projek JALB berkenaan telah dimulakan pada 7 Oktober 2026.
“Sehingga kini, seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
” Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh,” kata kenyataan itu.
SPRM menegaskan setiap siasatan dilaksanakan berlandaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.
Pada masa sama, SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran, namun menegaskan sebarang dakwaan perlu berasaskan fakta sahih serta disampaikan secara bertanggungjawab.
Menurut suruhanjaya itu, kenyataan atau dakwaan yang dibuat tidak seharusnya bersandarkan persepsi atau andaian semata-mata.
SPRM menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional, bebas, adil dan telus demi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara.





