
KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa sebuah stesen radio supaya segera menurunkan kandungan yang mengaitkan ibadah solat dengan perlawanan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris susulan penularan bahan berkenaan di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, ibadah solat merupakan tiang agama dan syiar suci umat Islam yang wajib dipelihara kemuliaannya serta tidak wajar dijadikan bahan jenaka, hiburan murahan atau elemen parodi dalam sebarang bentuk penyiaran.
Beliau berkata, semua pengamal media dan pencipta kandungan perlu lebih peka terhadap sensitiviti keagamaan serta mematuhi garis panduan penyiaran yang ditetapkan bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terus terpelihara.
“Kebebasan berkarya dan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempersendakan ritual ibadah atau menyentuh perkara asas akidah sehingga boleh mencetuskan kemarahan masyarakat serta menggugat ketenteraman awam,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan stesen radio terbabit mengambil tindakan segera dengan memastikan kandungan berkenaan diturunkan selain membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam.
Katanya, pihak berkenaan juga perlu memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Beliau turut mengajak semua pihak supaya bersama-sama memelihara adab dan menghormati kesucian agama, selain menjadikan platform media sebagai wadah yang mendidik serta menyatupadukan masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama memelihara adab, saling menghormati kesucian agama, serta menjadikan platform media sebagai wadah yang mendidik dan menyatupadukan masyarakat demi keredaan Allah SWT,” katanya.





