
TAMPIN : Sebanyak enam daripada lapan ahli Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan meluahkan rasa murka terhadap Raja Norazli Raja Nordin, sekali gus membuat keputusan untuk menggantung beliau daripada jawatan Setiausaha DKU.
Tindakan itu diambil selepas beliau didakwa tidak mematuhi arahan untuk memanggil Sidang Mesyuarat Khas DKU yang dijadualkan pada hari Jumaat.
Keputusan berkenaan diumumkan menerusi kenyataan media bersama oleh Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Datuk Abdul Rahim Yassin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri serta Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Kenyataan media tersebut dibacakan oleh Maarof dalam sidang media di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin yang dihadiri kesemua pembesar adat melainkan Mubarak.
“Kami sangat murka dan kecewa atas kegagalan Raja Norazli mematuhi perintah dan sabda Kami selaku Pemerintah Bersama (Co-Ruler) kerajaan Negeri Sembilan merangkap ahli majoriti DKU untuk menguruskan panggilan Sidang Mesyuarat Khas DKU pada hari ini (Jumaat).
“Tindakan beliau adalah semberono, bertentangan dengan aturan adat dan sangat biadab serta tidak lagi layak menjawat jawatan Setiausaha DKU,” katanya.
Menurut mereka, keputusan menggantung tugas Raja Norazli dibuat berdasarkan peruntukan Perkara 21 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selain turut disusuli dengan pelantikan sebuah jawatankuasa khas bagi melaksanakan fungsi Setiausaha DKU.
Dalam masa sama, mereka menegaskan bahawa DKU bukanlah milik mana-mana individu dan tiada pihak yang mempunyai kuasa mutlak dalam dewan tersebut, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Selain itu, mereka turut melantik satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kuasa Setiausaha DKU dan menguruskan perjalanan Sidang Mesyuarat Khas DKU yang dijadual akan berlangsung pada 5 Jun depan.
Turut dijemput dalam mesyuarat tersebut iaitu kesemua Ahli DKU, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara selaku jemputan dan pemerhati bebas.
Maarof memaklumkan jawatankuasa khas berkenaan turut akan menjemput Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz untuk menghadiri Sidang Mesyuarat Khas DKU tersebut.
Menurut beliau, jemputan itu dibuat memandangkan kedua-dua tokoh berkenaan merupakan anggota DKU seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Untuk rekod, pada 24 Mei lalu, enam pembesar adat terbabit telah mengemukakan notis kepada Raja Norazli supaya memanggil Sidang Khas DKU.





