
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan kembali bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan berkenaan adalah fitnah dan rekayasa jahat yang sengaja dimainkan pihak tertentu bagi memecahkan perpaduan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Amat malang sekali, tatkala umat Islam sedang merayakan hari-hari Tasyrik, muncul kumpulan orang politik dan media yang sedang asyik meraikan fitnah dan rekayasa jahat yang berlegar dalam masyarakat.
“Menjunjung perlembagaan Bersatu dan dasar perjuangan parti yang berteraskan Bersatu, Beramanah dan Bermaruah, Bersatu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan.
Mohamed Azmin berkata, tindakan fitnah itu bukan sekadar berniat jahat, malah didakwa sebagai usaha melemahkan perpaduan dalam Bersatu dan PN dikutip daripada kumpulan orang politik yang muflis nilai-nilai perjuangan.
“Tiupan fitnah semakin kencang kerana Bersatu semakin kuat dan berkembang dengan sokongan rakyat dan golongan profesional. Wajah sederhana, inklusif, progresif dan dasar prihatin rakyat menjana sokongan yang meluas.
“Bersatu bertekad akan terus kekal mempertahankan muafakat politik dalam PN dengan teguh dan berprinsip untuk membina Malaysia yang gagah, bermaruah dan progresif untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.






