
KUALA LUMPUR : Pengguna jalan raya yang menuju ke Genting Highlands akan dikenakan tol atau caj laluan selepas syarikat konsesi, Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB), memulakan pelaksanaan kutipan berkenaan bermula hari ini.
Dalam satu kenyataan, LCSB berkata pelaksanaan caj itu dijalankan secara dua peringkat dan melibatkan semua pengguna jalan kecuali beberapa kategori yang diberikan pengecualian.
Kutipan caj tersebut dilaksanakan di dua lokasi utama iaitu laluan masuk ke Genting Highlands melalui Genting Sempah serta laluan masuk ke Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.
“Bagi kenderaan kelas 1 iaitu kereta dan van, caj dikenakan ialah RM5 bagi setiap kemasukan, manakala kenderaan kelas 2 iaitu lori sederhana pula dikenakan caj RM15.
“Kelas ketiga, lori berat RM25, kelas keempat (teksi) RM3.30 dan kelas kelima ( bas) dikenakan caj RM5,” menurut kenyataan itu.
Tambah LCSB, kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 diwajibkan memasuki laluan melalui ‘Lorong Khas’ atau menggunakan sistem Pengecaman Plat Nombor (LPR).
Dalam pada itu, syarikat pengendali jalan itu memaklumkan, motosikal dan kenderaan kecemasan diberikan pengecualian tanpa memerlukan pendaftaran.
Selain itu, kenderaan persendirian milik penjawat awam yang bertugas di beberapa institusi kerajaan di Genting Highlands turut dikecualikan dengan syarat berdaftar dan menggunakan laluan LPR atau Lorong Khas.
“Institusi terlibat termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Layang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Layang dan Institut Aminuddin Baki, Balai Polis Genting Highlands, Balai Polis Gohtong Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands,” katanya.







