
KOTA BHARU : Pas akan membuat keputusan berhubung hubungan parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas perkara berkenaan diteliti oleh Majlis Syura Ulama.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan bahawa pihaknya ketika ini masih menantikan laporan penuh daripada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Sebaik sahaja laporan itu selesai, ia akan dibentangkan kepada Majlis Syura dan kami perlu menunggu laporan itu dimuktamadkan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sempena Majlis Ibadah Korban Jama’ie anjuran Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di Panji di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu menjelaskan, Majlis Syura akan memperincikan laporan tersebut terlebih dahulu sebelum menentukan keputusan mengenai hubungan Pas dengan Bersatu serta masa depan kerjasama dalam PN.
Sebelum ini hubungan Pas dan Bersatu kembali diperkatakan susulan laporan bahawa Pas mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu melibatkan gabungan PN.
Pada 24 Mei lalu, mesyuarat tergempar diadakan di Kuala Terengganu yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan PN termasuk masa depan hubungan dengan Bersatu.







