
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir pagi tadi.
Menterinya, Anthony Loke berkata, dapatan siasatan pasukan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan dihebahkan secepat mungkin.
Beliau turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan hukuman paling maksimum terhadap pengendali perkhidmatan, iaitu Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).
“Pihak APAD telah membuka kertas siasatan terhadap insiden ini serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anthony menegaskan, Ahli Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap business-as-usual.
Katanya, tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden itu.
“Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan.
“Tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab mereka untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana,” katanya.
Terdahulu, insiden itu menyaksikan sebuah tren bagi Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan berdekatan Stesen Chan Sow Lin sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan insiden itu berpunca daripada kerosakan suis landasan yang menyebabkan tren tidak dapat bergerak.
Ketika kejadian, terdapat 25 penumpang dan mereka selamat dipindahkan dengan tiada kecederaan dilaporkan.







