
SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas terjatuh ke dalam baldi berisi air sabun di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa ditemukan dalam keadaan terlangkup dengan kepala berada di dalam baldi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 7.22 malam.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati bayi terbabit dijaga neneknya bermula pukul 9 pagi ketika kedua-dua ibu bapanya keluar bekerja.
“Ketika kejadian, mangsa dikatakan ditidurkan di dalam buaian sementara neneknya melakukan kerja rumah termasuk memasak dan menjemur pakaian.
“Tidak lama kemudian, wanita itu menyedari mangsa sudah tiada di dalam buaian sebelum mencarinya di sekitar rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kemudian ditemukan di halaman belakang rumah dalam sebuah baldi yang mengandungi sedikit air sabun.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan kepala berada di bawah sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan seterusnya dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.
“Bagaimanapun, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang oleh pegawai perubatan,” katanya.
Mohd Yatim berkata, bedah siasat dijalankan pukul 1 pagi tadi namun punca kematian masih menunggu keputusan siasatan makmal.
Menurut beliau, polis turut menahan seorang wanita berusia 54 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R. Sinniah di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.





