
KUALA LUMPUR: Polis akan mengadakan pertemuan dengan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki minggu depan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, polis sudah menghubungi Azam dan pertemuan bagi mendapatkan keterangan lanjut akan diatur dalam masa terdekat.
“Setakat ini kami sudah berhubung dan pertemuan akan diadakan minggu hadapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Azam mengesahkan beliau berhubung dengan pihak polis susulan dakwaan berkenaan.
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu turut memaklumkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Albert Tei berhubung dakwaan yang dibuat.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan memanggil Azam dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurut M. Kumar, setakat ini polis sudah merakam percakapan dua individu termasuk Albert dan seorang peguam yang didakwa menyampaikan maklumat berkaitan ugutan berkenaan.





