
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dilantik sebagai pengarah pilihan raya bersama parti bagi menggantikan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor akan menggalas tanggungjawab itu bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang kekal memegang jawatan berkenaan.
“Dalam fasa seterusnya, Nurul Izzah akan terus memainkan peranan strategik dengan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan kapasiti jentera dan gerak kerja parti ke arah yang lebih kukuh dan tersusun.
“Tumpuan ini merupakan sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi, supaya kekuatan PKR terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas keputusan mesyuarat Biro Politik PKR.
Menurut Fuziah, pelantikan itu merupakan sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya PKR terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat.
Selain itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin turut dilantik sebagai pengarah bilik gerakan utama pilihan raya (war room) sambil dibantu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi.
Pelantikan tersebut bagi memperkukuh penyelarasan strategi, operasi lapangan dan pemantauan gerak kerja pilihan raya.







