
HULU SELANGOR: Selepas empat hari usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Changkat Asa, ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa hari ini.
Memetik laporan Bernama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat mangsa ditemui pasukan SAR di kawasan di luar laluan pendakian kira-kira jam 11.59 pagi tadi.
“Mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Pasukan SAR mengambil masa 20 minit membawa mayat ke PKTK menggunakan pengusung,” katanya di PKTK di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat remaja berkenaan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini disambung semula pada jam 8 pagi, melibatkan pelbagai agensi keselamatan selepas dihentikan pada 6.30 petang semalam.
Mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat mengenakan tudung labuh berwarna coklat, baju lengan panjang hijau gelap, seluar panjang hitam serta kasut biru.
Insiden berkenaan turut meraih perhatian meluas di media sosial serta liputan media sejak beberapa hari lalu, dengan orang ramai menzahirkan kebimbangan selain tidak putus-putus mendoakan agar remaja itu ditemui dalam keadaan selamat sepanjang operasi dijalankan.







