
BUKIT MERTAJAM : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan petrol dan diesel negara kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai ini walaupun ekonomi global sedang berdepan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat serta gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz.
Beliau berkata, kerajaan juga masih berupaya mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter meskipun kos penghantaran dan insurans kapal meningkat susulan ketegangan yang berlaku di rantau berkenaan.
“Doa supaya selamat kerana hubungan baik ini membantu bekalan minyak cukup. Setakat ini kita jangka sampai Julai dan Ogos, Insya-Allah diesel cukup.
“Setakat yang kita mampu, minyak RON95 kekal RM1.99. Beritahu saya negara mana yang lebih murah daripada Malaysia? Tak ada, kecuali Brunei,” katanya ketika berucap di Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di sini, hari ini.
Anwar berkata, kedudukan Malaysia ketika ini masih lebih stabil berbanding beberapa negara jiran yang berdepan masalah kekurangan bekalan bahan api sehingga menyebabkan ada stesen minyak terpaksa menghentikan operasi.
“Di Filipina misalnya, ada yang beratur di stesen minyak dan ada ratusan stesen sudah tutup. Alhamdulillah, kita belum sampai ke situ,” katanya.
Katanya, konflik di Asia Barat memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia susulan kenaikan harga minyak mentah dunia serta gangguan terhadap laluan perdagangan antarabangsa.
Menurut beliau, peningkatan kos penghantaran dan insurans kapal turut memberi kesan kepada harga barangan, namun kerajaan berusaha memastikan rakyat tidak menanggung beban yang berlebihan.
“Minyak ada tetapi kos penghantaran naik kerana laluan Selat Hormuz terjejas. Insurans naik, tambang kapal pun naik.
“Tetapi setakat yang kita mampu, kita pertahankan harga minyak untuk rakyat,” katanya.







