
PUTRAJAYA: Pelaksanaan mandat biodiesel B15 bermula 1 Jun 2026 tidak akan menjejaskan bekalan minyak sawit di pasaran tempatan atau jumlah eksport negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata negara ketika ini menghasilkan kira-kira 20 juta tan metrik minyak sawit setahun dengan sejumlah 16 juta tan metrik daripadanya adalah untuk tujuan eksport.
Katanya, baki empat juta tan metrik tan untuk pasaran domestik dan daripada jumlah itu, hanya sekitar 0.8 juta tan metrik diperlukan bagi pelaksanaan biodiesel B15.
“Daripada empat juta tan metrik itu, untuk penggunaan B15 hanya 0.8 juta tan metrik, bermaksud kita tidak akan ganggu jumlah eksport ke luar negara.
“Pengguna tidak perlu khuatir kerana inventori domestik masih lagi cukup serta tidak mengganggu eksport, selain dasar itu sudah lama dirancang dan bukannya perkara baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Taklimat Media Berhubung Penggunaan Biodiesel B15 oleh Setiausaha Bahagian Biojisim dan Bioapi Bahan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Ir Ts DrSang Yew Ngin.

Noraini menambah, Malaysia ketika ini menggunakan biodiesel B10 dan pelaksanaan B15 dibuat berdasarkan mandat kerajaan menerusi keputusan Kabinet serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Katanya, kerajaan memberi jaminan pelaksanaan B15 dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira kesiapsiagaan rantaian bekalan, logistik serta infrastruktur sedia ada melalui sesi libat urus bersama syarikat petroleum dan agensi berkaitan.
“Pelaksanaan B15 merupakan langkah strategik Kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap diesel fosil import di samping menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif yang lebih mampan dan mesra alam.
“Program Biodiesel Negara yang diperkenalkan sejak tahun 2006 telah dilaksanakan secara berperingkat dan kini terus diperkasa selaras dengan agenda peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia terhadap pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).
“Melalui pelaksanaan B15, penggunaan biodiesel sawit dalam sektor pengangkutan dijangka dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon, memperkukuh penggunaan sumber domestik negara serta menyokong kestabilan industri sawit tempatan termasuk meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit negara,” ujarnya.

Pada ketika ini, Noraini berkata, terdapat sejumlah 34 depoh pengadunan biodiesel di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, bekalan diesel di nozel biru akan kekal menggunakan B7, manakala pelaksanaan B15 akan melibatkan bekalan diesel di nozel hitam secara berperingkat mengikut kawasan yang telah ditetapkan.
“Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus bekerjasama rapat dengan semua kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri bagi memastikan pelaksanaan B15 berjalan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat, industri dan negara secara keseluruhan,” katanya.






