
CYBERJAYA: Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) diterbitkan sebagai langkah memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta menangani risiko kandungan memudaratkan dalam ekosistem digital negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, kedua-dua kod tersebut akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun depan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memastikan persekitaran digital lebih selamat khususnya kepada kanak-kanak dan keluarga.
Menurut MCMC, pelaksanaan CPC dan RMC merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian selain memberi keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam mendepani risiko digital yang semakin kompleks.
“Kod ini menetapkan jangkaan jelas kepada pemberi perkhidmatan supaya memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan, khususnya melibatkan kanak-kanak dan golongan rentan,” katanya dalam satu kenyataan.

MCMC berkata, pendekatan pelaksanaan di bawah kedua-dua kod itu adalah berasaskan hasil, sekali gus memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan melaksanakan penyelesaian bersesuaian mengikut keperluan keselamatan, privasi dan perundangan masing-masing.
Menurutnya, CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian lebih selamat serta bersesuaian dengan umur pengguna kanak-kanak menerusi penerapan prinsip keselamatan dalam pembangunan perkhidmatan digital.
Katanya, antara langkah utama termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna berusia bawah 16 tahun.
“Langkah di bawah CPC turut menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko eksploitasi dan kandungan memudaratkan,” jelasnya.
RMC pula menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan lebih kukuh serta mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan.
Selain itu, kod berkenaan turut merangkumi langkah pengesahan pengiklan dan pelabelan kandungan yang dimanipulasi.
MCMC berkata, tempoh pelaksanaan munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan dilaksanakan secara teratur.







