
KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menerima sebanyak 18,000 permohonan keahlian dalam tempoh lima hari selepas pelancarannya, kata bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurutnya, hampir separuh daripada jumlah itu iaitu 46 peratus terdiri daripada individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.
Katanya, golongan tersebut merupakan pengundi atas pagar yang selama ini tidak mempunyai kecenderungan untuk menjadi ahli parti politik walaupun aktif mengundi.
“Hampir separuh ialah pengundi atas pagar yang selama ini tidak ‘berumah’. Mereka mengundi tetapi tidak pernah rasa mahu menjadi ahli mana-mana parti. Sekarang mereka datang menyertai BERSAMA,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Rafizi berkata, permohonan turut diterima daripada ahli pelbagai parti politik termasuk PKR, UMNO, Pas, Amanah, Bersatu dan MUDA.
“Semua parti Melayu ada. Ini menunjukkan ada segmen dalam setiap parti yang sudah lama kecewa dan sedang mencari rumah baharu,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Pengumuman rasmi mengenai hala tuju politik kedua-dua pemimpin itu dibuat pada 17 Mei lalu menerusi majlis khas di ibu negara.
Dalam pada itu, Rafizi menolak dakwaan penubuhan BERSAMA akan menyebabkan perpecahan undi.
Beliau berkata, data permohonan keahlian menunjukkan sokongan diterima daripada pelbagai kelompok pengundi yang sebelum ini tidak mempunyai platform politik pilihan.
Menurutnya, daripada keseluruhan permohonan diterima, sebanyak 62 peratus terdiri daripada orang Melayu, diikuti Cina (15 peratus), India (14 peratus) serta Bumiputera Sabah dan Sarawak (7 peratus).
“Demografi ini lebih mencerminkan komposisi rakyat Malaysia,” katanya sambil menjangkakan jumlah permohonan keahlian BERSAMA akan melepasi 20,000 sebelum hujung minggu pertama pelancarannya.







