
PUTRAJAYA: Seramai 7,057 pekerja dilaporkan hilang pekerjaan pada April lalu susulan krisis bekalan global yang memberi tekanan kepada beberapa sektor utama ekonomi negara termasuk industri penerbangan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah itu meningkat 21 peratus berbanding 5,855 pekerja yang kehilangan pekerjaan pada Mac lalu.
Namun, katanya, angka tersebut masih rendah berbanding bulan Januari yang merekodkan 10,658 kehilangan pekerjaan dan Februari sebanyak 7,512 orang.
“Setiap satu angka itu adalah satu keluarga yang hilang punca pendapatan.
“Kerajaan akan memastikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG Kerjaya di bawah Perkeso berfungsi dengan pantas untuk membantu mereka,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 12 hari ini.
Menurut beliau, sektor penerbangan antara yang paling terkesan akibat peningkatan kos operasi dan gangguan laluan antarabangsa.
Katanya, pergerakan pesawat harian pada April 2026 merosot 31.5 peratus kepada 2,464 pesawat susulan pembatalan laluan ke Asia Barat.
“Pengendalian kargo udara antarabangsa turut menurun 14.3 peratus kepada 1,784 kilogram, manakala kargo udara domestik susut 18 peratus kepada 420 kilogram akibat lonjakan kos bahan api dan pelarasan operasi syarikat penerbangan,” katanya.
Akmal berkata, aktiviti perdagangan maritim dan rantaian bekalan negara masih berada pada tahap baik apabila pengendalian kargo harian meningkat 8.3 peratus kepada 848,900 freight weight tonnes (FWT).
Menurutnya, jumlah kontena turut meningkat 8.3 peratus kepada 93,100 Twenty-foot Equivalent Unit (TEUs) setakat April tahun ini.
Beliau berkata, harga makanan domestik secara keseluruhan masih terkawal meskipun terdapat peningkatan harga bagi beberapa bahan mentah tertentu.
Katanya, harga daging lembu turun dua peratus kepada RM38.45 sekilogram, namun harga sawi meningkat 3.6 peratus kepada RM7.08 sekilogram.
“Kerajaan akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan.
“Kepada rakyat, gunakan aplikasi PriceCatcher untuk membandingkan harga dan menjadi pengguna yang bijak kerana kuasa membeli berada di tangan anda,” katanya.
Beliau menegaskan keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan asas mencukupi, mengawal tekanan harga dan melindungi pekerjaan rakyat.
“Sebarang intervensi dasar akan dilaksanakan secara berhati-hati, bersasar dan berasaskan data supaya bantuan sampai kepada pihak yang benar-benar terkesan pada masa tepat,” katanya.






