
PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan negara kekal stabil serta terkawal menerusi langkah mitigasi berterusan khususnya item kritikal serta berisiko tinggi.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini turut bersetuju sebarang pelarasan kos dilaksanakan secara bersasar mengikut tahap risiko dan keperluan semasa.
Beliau berkata sehingga 8 Mei lepas, sebanyak 72 peratus item ubat berada pada tahap risiko rendah, 11.3 peratus sederhana dan 16.8 peratus pada tahap tinggi yang memerlukan pemantauan rapi.
“Bagi peranti perubatan pula, sebanyak 81.7 peratus berada pada tahap risiko rendah, 13.5 peratus pada tahap risiko sederhana manakala 4.8 peratus dikenal pasti berisiko tinggi.
“Bekalan bahan mentah dan komponen utama berisiko tinggi akibat kebergantungan kepada sumber import,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) disaran untuk meningkatkan usaha bagi memastikan ketelusan harga ubat-ubatan yang dijual di farmasi supaya rakyat tidak dibebani tekanan harga yang tidak wajar.
Sementara itu katanya, KKM telah mengambil langkah mitigasi secara berfasa dan tersusun sejak awal krisis tersebut berlaku seperti melaksanakan pemantauan bekalan dengan berkala melalui pasukan petugas khas.
Stok Penimbal Nasional turut diwujudkan melalui pengukuhan simpanan stok ubat-ubatan bagi item berisiko tinggi secara serta-merta serta melaksanakan diversifikasi sumber bekalan melalui kerjasama strategik dengan negara seperti China, Jepun dan Uzbekistan.
Beliau berkata KKM juga mewujudkan Laluan Akses Khas iaitu mengaktifkan Special Access Pathway bagi mempercepat kelulusan import ubat kritikal serta melaksanakan pembangunan industri tempatan bagi memperkasakan pembuat peranti perubatan nasional ke arah pengurangan kebergantungan terhadap produk import.






