
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Pengumuman berkenaan dibuat pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu.
Hajiji berkata, pengumuman berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Terdahulu, beliau menghadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu pagi tadi.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) serta anggota Kabinet Negeri.
Presiden parti komponen GRS turut hadir ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fa dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman.
Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), serta pemimpin PH Sabah lain antaranya Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.
PRN Sabah Ke-16 pada 2020 menyaksikan GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan
Parti Warisan pula meraih 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.





