
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM6.17 bilion levi berjaya dikutip sejak tahun 2023 hingga Ogos 2025 bagi tujuan melatih pekerja di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, daripada jumlah itu, RM5.77 bilion atau hampir 94% dibelanjakan bagi melatih kira-kira 4 juta pekerja dalam tempoh tersebut.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM25 juta digunakan bagi menyediakan kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maklumat (IT) untuk melatih kira-kira 20,000 pekerja.
“Kami tahu ia masih tidak mencukupi, jadi Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp (Human Resource Development Corporation) akan menyediakan lebih banyak latihan secara percuma untuk membolehkan Malaysia menyesuaikan diri dengan pasaran pekerjaan yang dikuasai AI,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan program Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 di MITEC.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutifnya, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan.
Dalam pada itu, Seteven memberitahu, hasil program NHCCE tahun ini menyaksikan kutipan pendapatan HRD Corp meningkat berbanding tahun lalu, dengan lebihan RM1 juta berbanding RM500,000 pada 2024.
“Keseluruhan lebihan ini akan disalurkan untuk melatih golongan pekerja gig, selaras dengan mandat HRD Corp,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia menyasarkan 35% tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Ujarnya, hampir 47% pekerja p-hailing yang menjadikan kerja gig sebagai sumber pendapatan utama mempunyai kelulusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau diploma.

“Kumpulan ini berpotensi besar untuk mengisi kekosongan pekerjaan berkemahiran tinggi, namun potensi tersebut masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kerja gig memang memberi pendapatan segera, tetapi pendidikan dan kemahiran mereka tidak digunakan secara optimum.
“Ini bukan sahaja merugikan individu, malah turut menjejaskan aspirasi negara ke arah ekonomibernilai tinggi,” katanya.
NHCCE 2025 merupakan acara tahunan utama HRD Corp yang menarik penyertaan kira-kira 3,000 delegasi dari dalam dan luar negara.
Persidangan tersebut menampilkan lebih 30 penceramah ternama, antarabangsa dan tempatan, di samping pameran yang mengetengahkan inovasi terkini dalam pembangunan modal insan.
Berteraskan tema ‘Menerajui Revolusi Modal Insan’, persidangan itu membincangkan bagaimana AI dan teknologi disruptif dapat mentransformasikan tempat kerja sambil memupuk keterangkuman, daya tahan serta hubungan kemanusiaan.





