
KUALA LUMPUR: Enam negeri di Malaysia dikenal pasti sebagai kawasan berisiko terdedah kepada ancaman gempa bumi berdasarkan pemetaan zon sesar aktif oleh pihak berkuasa geologi negara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Huang Tiong Sii, berkata negeri-negeri yang terlibat ialah Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Penemuan ini hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) melalui pemetaan sesar aktif dan Peta Seismotektonik Malaysia.
“Zon-zon sesar aktif di enam negeri ini menunjukkan potensi terhadap kejadian gempa bumi dan memerlukan pemantauan serta langkah mitigasi yang berterusan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi meningkatkan ketepatan pemantauan dan kesiapsiagaan, Tiong Sii berkata Peta Bahaya Seismik Malaysia kini dikemaskini oleh JMG dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan dan agensi teknikal berkaitan.
Kemaskini ini mengambil kira beberapa faktor penting termasuk kejadian gempa bumi terkini, wujudnya sesar aktif baru, data geologi terkini, hasil siasatan tanah di kawasan terlibat.
Mengulas insiden gegaran di Segamat dan Batu Pahat, Tiong Sii menjelaskan ia merupakan sebahagian daripada proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar-sesar lama, satu fenomena semula jadi untuk menstabilkan kerak bumi.
“Kejadian ini berkait dengan lanjutan zon Sesar Mersing, iaitu sistem sesar utama di Timur Johor. Berdasarkan data semasa dan kajian terbaru, Segamat dan Johor secara amnya masih berada dalam zon selamat,” katanya menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Seri Gading).
Menurut Tiong Sii, MetMalaysia dan JMG terus bekerjasama rapat dalam memantau aktiviti seismik bagi memastikan sistem amaran awal dan tindak balas bencana dapat berfungsi dengan lebih cekap.
Sebagai langkah proaktif, MetMalaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Projek ini akan melibatkan pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara dan pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor
Naik taraf empat stesen sedia ada di Johor Bahru, Batu Pahat dan Gelang Patah daripada jenis “strong motion” kepada “weak motion” bagi mengesan gegaran berskala rendah
Menjawab soalan tambahan Abdul Khalib Abdullah (PN–Rompin), Tiong Sii menegaskan berdasarkan kajian kumpulan kerja pakar seismometrik di bawah Jawatankuasa Tindakan Gempa Bumi (diketuai oleh JMG), tahap maksimum magnitud gempa di kawasan seperti Segamat dan Batu Pahat adalah pada skala sederhana.
“Walaupun kebanyakan gempa bumi di Semenanjung Malaysia adalah lemah hingga sederhana, risiko tetap wujud, terutamanya di kawasan berhampiran zon sesar seperti Sesar Mersing yang terpengaruh oleh sifat geologi setempat,” katanya.





