
SERDANG: Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang kini belayar ke Gaza dijangka memasuki zon kuning pada hari Selasa, sebagai sebahagian daripada perancangan taktikal untuk menyalurkan bantuan sebelum hujung minggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan risiko kelewatan dan kesukaran akses bantuan guaman sekiranya misi tersebut dipintas oleh pihak berkuasa Israel pada hari cuti mereka, Jumaat dan Sabtu.
“Kita mahu kapal tiba sebelum hujung minggu. Jika misi dipintas dan dibawa ke pelabuhan, sekurang-kurangnya pada hari bekerja, peguam boleh segera sampai dan usahakan pembebasan peserta,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini, hari ini.
Menurut beliau, pada pukul 2.20 pagi (waktu Malaysia), kapal utama Conscience yang membawa sembilan wakil Malaysia berada kurang daripada 250 batu nautika dari perairan Gaza dan dijangka memasuki zon kuning dalam tempoh kurang 24 jam.
Kapal itu kini memperlahankan pelayaran untuk menunggu lapan kapal layar lain, termasuk kapal Umm Saad yang membawa seorang lagi wakil Malaysia, sebelum mereka bergabung dan menuju ke zon kuning secara bersama-sama.
Kamarul Zaman turut memaklumkan Ketua Delegasi Malaysia di atas kapal Conscience, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, melaporkan kehadiran beberapa dron yang berlegar di ruang udara kapal, dipercayai cubaan untuk menakut-nakutkan peserta misi.
“Delegasi Malaysia juga melakukan penstriman langsung dengan Hospital Al-Awda di Gaza yang memaklumkan situasi kritikal iaitu kekurangan peralatan dan bekalan perubatan,” katanya.
Beliau berkata petugas kesihatan di hospital tersebut terpaksa menggunakan kaedah rawatan konvensional dan mengubah suai peralatan perubatan sedia ada untuk merawat pesakit.
Misi FFC kali ini menyaksikan penglibatan kira-kira 150 peserta dari 25 negara, dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Lapan peserta menaiki kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September, manakala Dr Maziah berada di atas kapal Umm Saad, yang bertolak lebih awal pada 27 September dari Catania, Sicily, bersama tujuh lagi kapal layar.
Misi Freedom Flotilla ini adalah sebahagian usaha antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang kini berdepan krisis terburuk akibat sekatan dan serangan berterusan. Ia turut membawa mesej solidariti terhadap rakyat Palestin yang telah lama dikepung.





