
KUALA LUMPUR: Seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dijangka tiba di tanah air pada pukul 10 malam ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
“Esok, Rabu, kita bersolidariti sekali lagi di Axiata Arena pukul 6 petang. Saya dan rakan-rakan akan sampaikan mandat dan pesan kerana sudah dua tahun Gaza dibantai badai genosid.
“Ini bukan tentang kami, ia tentang mereka. Kami hanya menumpangkan semangat dan suara agar kita terus bertindak tanpa teragak-agak, peduli tanpa henti. Ia tentang mereka,” tulisnya.
Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, memaklumkan kesemua aktivis terbabit akan mendarat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada Khamis lalu, kesemua 23 aktivis rakyat Malaysia ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal-kapal yang mereka naiki dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean.
Mereka kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Bagaimanapun, kesemua aktivis dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada pukul 6.45 petang waktu Malaysia, Sabtu lalu, sebelum tiba di Istanbul, Turkiye.
Berikut adalah senarai aktivis Malaysia yang ditahan dan terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut, mengikut nama kapal:
Kapal Hio: Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah
Kapal Grande Blu: Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad
Kapal Huga: Zizi Kirana
Kapal Alma: Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil
Kapal Sirius: Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli
Kapal Inana: Razali Awang
Kapal Mikeno: Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana)
Kapal Estrella: PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak
Kapal Fair Lady: Zainal Rashid Ahmad, Muhammad Abdullah
Kapal Free Willy: Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Taufiq Mohd Razif
Kepulangan mereka ke tanah air malam ini dijangka disambut oleh ahli keluarga serta para penyokong misi kemanusiaan yang ingin menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.





