
MELAKA: Sebanyak 70 peratus produk kopi dan biskut yang terpalit kontroversi penggunaan berus bulu babi sudah ditarik keluar dari pasaran di seluruh negara setakat awal April ini.
Perkara itu disahkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) membabitkan dua syarikat, Heng Loong Coffee Sdn Bhd dan Tian Hup Seng Biscuit Factory Sdn Bhd.
Menurut kenyataan Jaim, baki proses penarikan semula produk di peringkat kebangsaan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.
Katanya, sehingga 8 April lalu, pemantauan dijalankan di 33 pasar raya sekitar Melaka dan hasil pemeriksaan mendapati tiada lagi produk terlibat dijual di premis berkenaan.
“Pemantauan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan arahan penarikan balik dipatuhi sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Jaim menegaskan tindakan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dibuat bagi memastikan syarikat terlibat mengambil langkah pembetulan sewajarnya, selain melindungi kepentingan pengguna Islam.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya masih menemui produk terbabit di pasaran, khususnya di luar Melaka.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan melalui analisis makmal bahawa berus digunakan mempunyai ciri fizikal bulu babi, sekali gus melanggar piawaian halal ditetapkan.
Susulan itu, syarikat terlibat diarahkan menghentikan penggunaan logo halal serta menarik balik semua produk dari pasaran.




