
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kecewa terhadap segelintir ahli parti itu yang didakwa tidak menunjukkan ketaatan serta kesetiaan kepada kepemimpinan pusat dan negeri.
Beliau berkata, perkara itu susulan aduan yang diterima berhubung salah laku serta pertikaian dalaman membabitkan PAS Perlis selepas kemenangan pilihan raya parti pada 2022.
Menurutnya, pucuk kepemimpinan PAS Pusat sudah menjalankan siasatan sebaik menerima beberapa aduan daripada pimpinan di negeri berkenaan.
“Kita sudah keluarkan surat terbuka kepada semua ahli PAS di Perlis,” katanya menerusi kenyataan dalam ruangan Minda Presiden PAS yang dimuat naik hari ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun siasatan tidak menemukan bukti kukuh berhubung dakwaan salah laku moral dan pentadbiran, terdapat ahli yang secara terbuka melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan parti serta kepemimpinan negeri.
Beliau berkata, sebahagian individu berasakan diri mereka lebih layak memegang jawatan namun tidak dilantik sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati.
Tegasnya, sikap sedemikian tidak selari dengan akhlak Islam dan disiplin parti yang selama ini menjadi tunjang perjuangan PAS.
Abdul Hadi turut mengkritik tindakan melobi secara tidak beretika yang didakwa bertujuan melemahkan parti dari dalam termasuk cubaan menjatuhkan kerajaan negeri Perlis.
Katanya, terdapat juga kegagalan untuk menghormati autoriti pesuruhjaya negeri yang telah dilantik oleh parti.
“Turut berlaku kurang keteguhan menghadapi tekanan luar dan mempertahankan perjuangan parti sehingga membawa kepada tindakan di luar kerangka parti yang bercanggah dengan pendirian PAS terhadap salah laku dan rasuah,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya perkara itu dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa kepada sokongan terhadap perbuatan yang disifatkan sebagai pengkhianatan sehingga menjatuhkan kerajaan PAS.
Beliau turut mengingatkan kemungkinan kuasa diserahkan kepada pihak lain termasuk pengambilalihan jawatan menteri besar daripada BERSATU.
Abdul Hadi menegaskan pesuruhjaya PAS Perlis yang dilantik oleh Majlis Syura Ulama mendapat kepercayaan penuh daripada kepemimpinan pusat.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli parti supaya mengekalkan perpaduan, mematuhi disiplin serta mengelakkan pertikaian dalaman yang boleh menjejaskan kekuatan PAS.
Tambahnya, krisis dalaman yang berlaku juga berpotensi menjejaskan hubungan antara PAS dan BERSATU dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Malah, katanya, keadaan itu mendorong Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai pengerusi, yang sehingga kini masih belum diisi.







