
SERDANG: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M.
Majlis penganugerahan berprestij itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Turut menerima pengiktirafan dalam pelbagai kategori ialah Khairul Amin Kamarulzaman (Khairul Aming) bagi kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya dan Angeline Tan (Saudara Baru Cemerlang (Mualaf).
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation Sdn. Bhd., Muhammad Usamah Zaid Yasin menerima pengiktirafan bagi kategori Pengkarya/Inovator Kreatif; Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan merangkap Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang pula dalam kategori Agamawan/Kepimpinan Dakwah.
Penolong Pesuruhjaya Bomba, Ismail Abdul Ghani menerima pengiktirafan bagi kategori Wira Negara dan Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Sarawak , Dayang Nur’ Maisarah Abang Abdul Razak pula di bawah ketegori Belia Harapan.
Setiap penerima Anugerah Maulidur Rasul membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi dan sijil penghargaan, manakala penerima Anugerah Perdana menerima RM50,000, trofi dan sijil.