
PORT DICKSON – Suasana Unit Forensik Hospital Port Dickson petang ini lengang apabila tiada waris hadir menuntut jenazah dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki mereka terhumban ke Sungai Linggi, Tanjung Agas, semalam.
Proses bedah siasat mangsa, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan kakaknya berusia lapan tahun, bermula jam 3 petang dan masih berlangsung sehingga 4.30 petang tanpa kehadiran ahli keluarga.
Semalam, media melaporkan bapa kepada mangsa direman tujuh hari bagi membantu siasatan, bersama seorang wanita dipercayai kekasihnya. Permohonan reman kedua-dua suspek berusia 46 dan 41 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Seremban hari ini, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, polis kini turut mengesan ibu kandung mangsa untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan, kedua-dua suspek ditahan selepas memberi keterangan meragukan. Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah, termasuk empat kes masih dikehendaki, manakala suspek wanita tidak memiliki sebarang rekod.
“Hasil ujian air kencing kedua-dua suspek adalah negatif. Semakan turut mendapati kereta terbabit dilaporkan hilang dalam satu kes di Nusa Bestari pada 2022,” katanya.







