
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan tidak menghalang rakyat mengadakan protes, asalkan ia dilakukan secara sah, aman dan tidak melibatkan unsur keganasan, ugutan mahupun fitnah.
Katanya, rakyat bebas menyuarakan pendapat, namun tindakan melampau seperti membakar rumah pemimpin atau menyebarkan tuduhan tidak berasas tidak boleh diterima.
“Kita tidak akan halang, tetapi protes itu mengenai apa? Sekarang elaun menteri sudah dipotong, gaji menteri tidak diambil, harga minyak turun, peruntukan kepada rakyat ditambah, semua ini sudah diumumkan dan boleh dipertimbangkan dalam belanjawan.
“Tetapi untuk capai semua itu, negara perlu aman, kita perlu bekerja keras dan ekonomi mesti berkembang,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika mengulas kemungkinan protes seperti yang berlaku di Indonesia baru-baru ini turut tercetus di Malaysia, sekiranya rakyat tidak berpuas hati terhadap pentadbiran kerajaan.
Di Indonesia, protes besar-besaran tercetus sejak Isnin lalu susulan kemarahan orang ramai terhadap elaun mewah wakil rakyat.
Kejadian menjadi lebih tegang selepas seorang pemandu p-hailing, Affan Kurniawan, dilanggar dan digilis kenderaan polis ketika menyertai demonstrasi menuntut gaji lebih adil dan menolak keistimewaan melampau ahli Parlimen.
Di Jakarta, ratusan penunjuk perasaan turut berkumpul di hadapan ibu pejabat pasukan elit Brimob, yang dikaitkan dengan insiden kematian Kurniawan.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling sebelum menghadiri program Temu Mesra MADANI anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di lokasi sama.
Anwar turut menegaskan keutamaan kerajaan kini adalah mengekalkan keamanan negara, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan masuk.
“Jika kestabilan negara tergugat, rakyat juga yang akan menerima kesannya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kebebasan bersuara tidak disalahgunakan.
“Tiada salahnya rakyat mahu kemukakan pandangan. Tapi jangan sampai buat perkara melanggar undang-undang seperti membakar rumah pemimpin. Jika berlaku, polis akan ambil tindakan.
“Fitnah juga tidak boleh diterima. Tuduhan kononnya kita sokong Israel atau jadi ejen Israel, itu biadab dan tidak berakhlak,” katanya.





