
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan seorang wanita yang terlibat dalam insiden dua beradik lemas selepas kereta yang diparkir tergelincir ke dalam Sungai Linggi, Tanjung Agas, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini dan akan berlangsung sehingga 11 September.
“Setakat ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Maslan turut memaklumkan wanita berusia 41 tahun itu bukan ibu kandung kepada kedua-dua mangsa, sebaliknya merupakan teman wanita kepada bapa mereka.
“Usaha untuk mengesan ibu kandung kanak-kanak sedang dijalankan.
“Status hubungan antara bapa dan ibu kandung mereka juga masih dalam siasatan sama ada masih berkahwin atau telah berpisah,” tambahnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata lelaki dan wanita terbabit ditahan selepas pihak polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangan mereka mengenai kejadian.
Menurut Alzafny, suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau, termasuk empat kes di mana dia masih dikehendaki pihak berkuasa.
Kenderaan terlibat turut mempunyai rekod laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022.






