
KUALA LUMPUR: Anjing yang menyerang seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sehingga mengalami kecederaan di kepala di Cheras pada Rabu lalu disahkan sebagai anjing liar.
Perkara itu disahkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan satu surat pemakluman dikeluarkan untuk diserahkan kepada Jabatan Veterinar, menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof.
“MPKj mengesahkan anjing tersebut tidak mempunyai pemilik,” katanya.
Mangsa yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Kajang kini masih dirawat di Wad Kanak-Kanak, Hospital Putrajaya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial satu rakaman video yang memaparkan seorang kanak-kanak cedera parah selepas diserang seekor anjing ketika berbasikal berhampiran rumahnya di kawasan Batu 9, Cheras.







