
KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seorang pempengaruh media sosial selepas dikesan menggunakan platform terapung untuk membawa sebuah kereta di tengah laut berhampiran Pulau Bidong, Kuala Terengganu petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi penguatkuasaan yang dijalankan itu turut menahan dua buah bot bersama platform terbabit kira-kira 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu.
“Bot pengiring tersebut dikesan beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut. Malah platform terbabit dibina tanpa peralatan keselamatan sekali gus mengundang risiko kepada kru, penumpang dan pengguna perairan lain.
“Platform itu juga dipercayai dijadikan lokasi penggambaran seorang pempengaruh media sosial bersama kenderaan yang dibawa di atasnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu bot, kru dan penumpang terbabit telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar pukul 2 petang hari ini.
Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat lesen, beroperasi tanpa lesen sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim walaupun atas alasan kreativiti atau tujuan penggambaran.
“Maritim Malaysia menyokong usaha pelancongan dan kreativiti anak muda, namun ia perlu dilakukan mengikut peraturan sedia ada demi keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara,” katanya.






