
KOTA KINABALU: Pakar Patologi dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, menyerahkan kepada Mahkamah Koroner untuk membuat keputusan sama ada Allahyarham Zara Qairina Mahathir terjun dari bangunan asrama atas kehendaknya sendiri atau tidak.
Dr Jessie berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes buli terhadap mangsa berusia 13 tahun itu.
Dalam sesi soal balas tersebut, Ram mengajukan soalan berkenaan dengan kemungkinan Zara melompat sendiri, setelah Dr Jessie sebelum ini menyatakan kematian Zara bukan disebabkan kemalangan atau ditolak oleh orang lain.
Ram: “Jika bukan satu kemalangan dan bukan kerana ditolak, adakah terdapat kemungkinan dia melompat atas kehendaknya sendiri?”
Dr Jessie: “Dia berdiri di atas lantai berhampiran pagar, bukan di atas pagar seperti yang ditunjukkan dalam gambar.”
Ram: “Adakah kemungkinan untuk menyatakan dia jatuh atas kehendaknya sendiri ketika berdiri atau duduk di atas pagar?”
Dr Jessie: “Itu terserah kepada mahkamah untuk menentukan.”
Ketika ditanya mengenai definisi perbuatan membunuh diri dalam konteks kematian Zara, Dr Jessie menegaskan penentuan tersebut juga terletak di tangan mahkamah.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina yang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bertujuan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian pelajar Tingkatan 1 itu, yang ditemui tidak sedarkan diri di perkarangan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokan harinya.
Kes ini turut mencetuskan perhatian umum selepas muncul dakwaan mangsa telah dibuli sebelum insiden tersebut berlaku.





