
KUALA LUMPUR: Dakwaan sebahagian kawasan Pulau Sebatik di Sabah kini menjadi milik Indonesia disahkan tidak benar, sekali gus meredakan kebimbangan berkaitan isu kedaulatan sempadan negara.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo menegaskan, kawasan seluas 127.3 hektar itu masih berstatus ‘grey area’ dan belum diputuskan secara rasmi oleh kedua-dua negara.
Beliau berkata, rundingan mengenai status sebenar kawasan berkenaan masih berjalan di peringkat tertinggi antara Malaysia dan Indonesia.
“Saya mahu menegaskan Pulau Sebatik bukan di bawah kuasa Indonesia, ia masih ‘grey area’. Perbincangan mengenai statusnya masih berjalan,” katanya ketika dihubungi di Jakarta oleh Berita Harian.
Menurut beliau, laporan media dari Indonesia yang menyatakan kawasan itu kini milik republik berkenaan adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan.
“Berita dari Indonesia tidak betul. Tolong jelaskan berita itu tidak betul,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan pihaknya masih meneliti sumber laporan berkenaan bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada maklumat tidak sahih atau kesilapan fakta.
“Saya perlu periksa lagi sumbernya kerana banyak yang tidak jelas, namun apapun ia tidak benar,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Staf Presiden Indonesia, M. Qodari mendakwa kawasan berkenaan menjadi milik Indonesia hasil rundingan diplomatik berkaitan sempadan darat.
Dakwaan tersebut mencetuskan perhatian ramai memandangkan Pulau Sebatik merupakan kawasan sensitif yang melibatkan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Isu sempadan itu bagaimanapun masih dalam proses rundingan, dengan kedua-dua negara komited mencari penyelesaian secara diplomasi dan harmoni.
Penegasan oleh duta Indonesia itu dijangka dapat membantu meredakan kekeliruan awam serta mengelakkan salah faham berhubung status sebenar kawasan berkenaan.






