
JASIN :Kerajaan bersikap terbuka dan bersedia mengambil langkah segera menempatkan pelajar Malaysia yang terkandas atau terjejas pengajian akibat krisis di Asia Barat ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara, sekiranya keadaan memerlukan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah ini diambil bagi memastikan kesinambungan pengajian mereka tidak terjejas, termasuk dalam kalangan pelajar yang baharu menerima tawaran melanjutkan pengajian ke negara terbabit.
Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada kesiapsiagaan kementerian serta jaminan bahawa pengajian pelajar akan terus dilindungi walaupun berdepan situasi krisis di luar negara.
“Sekiranya berlaku, maka ruang akan diberikan kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di sini (IPT dalam Malaysia), yang bersesuaian dengan keputusan, kursus dan latar belakang pendidikan mereka kerana persefahaman di peringkat universiti itu ada.
“Biasanya kita akan bincangkan kursus yang boleh dipindahkan kredit berdasarkan garis panduan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya pelajar dapat meneruskan pengajian tanpa perlu mengulang sepenuhnya, katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Townhall Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI Zon Selatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin, hari ini.
Zambry berkata, langkah membawa pulang dan menempatkan pelajar di universiti tempatan bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilaksanakan sebelum ini termasuk ketika konflik Iran-Iraq serta melibatkan pelajar Malaysia di Kuwait.
“Setakat ini belum ada angka rasmi pelajar yang terkesan (akibat krisis di Asia Barat) kerana universiti di negara terbabit masih berfungsi seperti biasa malah jumlahnya agak kecil berbanding pelajar di negara lain seperti di Jordan atau Mesir, katanya.
Namun begitu, beliau menegaskan kementerian akan terus bersiap siaga dan menunggu maklum balas daripada pelajar serta institusi pengajian sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.






