
CYBERJAYA: Sebuah daripada tujuh kapal Malaysia yang membawa bahan api dilaporkan mengalami kerosakan sekali gus tidak dapat meneruskan pelayaran dari pelabuhan di Selat Hormuz.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada dua kapal yang telah melepasi laluan berkenaan, sebuah daripadanya telah selamat tiba, manakala sebuah lagi kini sedang dalam perjalanan menghampiri perairan negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang terus memantau perkembangan lima lagi kapal yang masih belum melepasi Selat Hormuz pada masa ini.
“Satu kapal sudah sampai, satu lagi hampir sampai dan masuk dalam perairan Malaysia, maknanya (ada) dua (kapal), yang lain itu dengan keputusan baharu walaupun sudah lepas, tetapi kita masih memantau.
“Dari segi kelulusan, memang Iran memberi kelulusan kepada tujuh kapal kita (melepasi Selat Hormuz), tetapi satu (kapal) mempunyai masalah kerosakan hingga tak boleh berlepas dari pelabuhan.
“Disebabkan keadaan terbaru ini, kita ada hadapi masalah sedikit,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan dua kapal Malaysia kini dalam perjalanan keluar dari Selat Hormuz dengan satu daripadanya dijangka tiba hari ini, manakala sebuah lagi dijangka tiba pada minggu berikutnya.
Sementara Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) memaklumkan bahawa hampir 20,000 pelaut dan kira-kira 2,000 kapal terkandas di Selat Hormuz.





